Senyuman..

Senyuman adalah satu bentuk refleksi terhadap sesuatu emosi dan perasaan manusia. Refleksi in terjadi apabila seseorang itu berada dalam keadaan gembira dan ceria. Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa memberikan senyuman. Ini kerana senyuman merupakan ibadat sedekah yang paling mudah untuk dilaksanakan. Senyuman menjadikan diri seseorang itu mudah untuk didampingi dan mendampingi orang yang berada di sekelilingnya. Seseorang yang sentiasa senyum akan merasakan dirinya berada dalam keadaan tenang dan bahagia. Melalui kajian saintifik,senyuman dikatakan antara kaedah senaman mudah yang digunakan untuk menjadikan seseorang itu kelihatan sentiasa muda dan ceria....."senyum umpama titian dalam kehidupan, kau tersenyum ku tersenyum....kemesraan menguntung"

Ilmuwan..

"Menuntut ilmu adalah menjadi kewajipan ke atas Muslim" . Bagaimanailmu itu diperolehi? Apabila berbicara mengenai ilmu, sudah pasti akan dikaitkan dengan maklumat-maklumat yang memberi manfaat kepada seseorang. Antara sumber ilmu yang paling popular ialah melalui bacaan.Membaca merupakan aktiviti yang perlu disemai dalam setiap diri individu. Pembentukan individu yang berilmu lahir dari keinginan, minat, amanah dan rasa bertanggungjawab terhadap penguasaannya kepada sesuatu bidangilmu.

Muhasabah Diri..

Seringkali manusia lupa akan keaiban dan cacat cela diri sendiri lantaran menyibukkan diri dengan melihat keaiban diri orang lain. Barangsiapa sering melihat keburukan saudaranya dan berkata-kata (mengumpat) mengenainya, maka keburukan itu akan datang pada dirinya.
Sebukkanlah diri dengan mencermin dan memeriksa keaiban, kecacatan dan keburukan diri sendiri. Keaiban diri boleh diketahui dengan bermuhasabah, bertanya pendapat sahabat-sahabat yang jujur mengenai diri kita, mendengar dengan teliti kata-kata musuh kerana seringkali cemuhan mereka atas diri kita ada kebenarannya.

Tetapi awasilah teman yang jahat, seorang yang sering memuji tanpa keihklasan di hati. Dampingilah alim ulamak mursyidin dan 'amilin bagi memperolehi bimbingan rohani dari mereka. Dengan itu, kita akan menyedari bahawa diri kita masih banyak kekurangannya.
Apabila kekurangan ini diketahui, barulah usaha untuk menutup kekurangan itu dicari dan diusahakan.

Petikan dari buku "Mengenali Keaiban diri dan Jalan Pembaikannya Untuk Mencapai Kesempurnaan Hidup"
Karangan Allamah Sayyid Abdullah Haddad

kamu Benar,Tapi...

Beberapa hari lepas, ada seorang perempuan bersemangat memberikan penyampaian. Dia menyampaikan satu kebenaran. Ya, saya akui, itu kebenaran. Tetapi cara penyampaiannya terlalu panas dan boleh membahayakan dirinya, dan juga kebenaran yang hendak disampaikannya.

Ketika Sheikh Abbas As-Sisy masih hidup, ada satu konsert yang tidak syara’ hendak diadakan di bandar kediamannya. Maka datanglah beberapa orang pemuda berdarah panas berjiwa membara bertemu dengannya.

“ Wahai sheikh, kami ingin pergi ke konsert itu dan meminta mereka membatalkannya. Kita perlu menyelamatkan ummah!”

Abbas As-Sisy berkata, “ Jangan. Kamu hanya merosakkan imej kamu di hadapan masyarakat dan seterusnya merosakkan dakwah. Kamu punya perbuatan itu tidak berjaya, dan lebih teruk lagi kamu akan ditangkap.”

Kumpulan pemuda itu tidak mendengar nasihat. Ketika konsert berjalan, mereka pergi dan terus menjerit di tengah khalayak ramai supaya konsert itu dibatalkan. Pelbagai hadith dilontarkan dan ayat-ayat ALLAH dibaca bagi menerangkan bahawa konsert itu tidak syara’. Tetapi akhirnya, sebagaimana yang dijangka Abbas As-Sisy, mereka tidak berjaya dan lebih buruk lagi, mereka ditangkap oleh polis.

Perkara ini, saya baca dalam buku Bagaimana Menyentuh Hati karangan Abbas As-Sisy sendiri. Tumpahan pengalaman daripada veteran dakwah yang pada saya, mesti dibaca oleh semua yang berhajat untuk menggerakkan dakwah kepada komuniti mereka.

Apa yang saya hendak bawa sebenarnya?

Sebenarnya, dalam menyampaikan kebenaran, ada seninya. Kita tidak boleh melulu tergesa-gesa membabi buta. Apabila kita menyampaikan kebenaran, kita bukan sekadar hendak kebenaran itu singgah ke telinga menggegarkan gegendang sahaja. Tetapi kita mahu kebenaran itu menyentuh hati manusia.

Sikap terburu-buru menyampaikan kebenaran, atau menyampaikan kebenaran dengan menggunakan kekerasan, hanya akan menimbulkan rasa tidak senang dan impresi buruk daripada masyarakat yang melihat dan mendengar. Tambah buruk pula apabila, keterburuan kita itu membuatkan pergerakan kita untuk menyampaikan kebenaran yang seterusnya dilumpuhkan. Sedangkan, prinsip menyampaikan kebenaran tadi adalah perlu berterusan.

ALLAH SWT pun ada berpesan,

“ Serulah ke jalan RABB kamu dengan berhikmah serta pengajaran-pengajaran yang berguna, dan debatilah mereka dengan cara yang baik”

Nah.. Apa yang kita untung jika kita menyatakan kebenaran, tetapi manusia membenci kita dan kita pula tidak dapat meneruskan penyebaran kebenaran kita?

Lihatlah Rasulullah SAW bergerak. Baginda tidak membuat pemberontakan atau sekadar membakar semangat. Baginda membina iman, sedikit demi sedikit, perlahan-perlahan. Pergerakan baginda ibarat anai-anai. Kita tidak sedar akan kehadiran anai-anai. Biasanya kita sedar adalah apabila almari kita runtuh dan dinding rumah kita rosak. Rasulullah juga begitu, sebaik sahaja baginda melakukan dakwah secara jahar(terang) selepas tiga bulan melaksanakan dakwah secara sir(rahsia), dia sudah mempunyai ramai pengikut dan pengikutnya semakin hari semakin bertambah.

Tiada sahabat Rasulullah SAW yang ditangkap kerana memberontak di tengah Makkah, atau menengking Abu Jahal tak semena-mena. Yang terjadi adalah, sahabat-sahabatnya dicari dan dibunuh serta diseksa. Ini bukan memberikan impressi buruk, malah menambah simpati.

Tetapi kalau kita tidak fasal-fasal mencari fasal, maka masyarakat akan membenci kita, seterusnya memberikan impressi buruk, dan kerja-kerja penyebaran kebenaran akan terganggu.

Sebab itulah, kalau betul peristiwa pengeboman di tengah bandar(seperti 11 september, pengeboman bali, pengeboman keratapi bawah tanah london) itu perbuatan orang ISLAM… saya ulang, ‘kalau betul’, maka itu nyatalah bukan satu tindakan yang betul malah tindakan itu adalah tindakan yang bodoh, kerana akhirnya, kebenaran bukan berkembang, malah musuh mengambil peluang menekan pembawa kebenaran yang lain.(tetapi saya amat yakin, itu semua bukan perbuatan orang ISLAM, melainkan permainan musuh-musuh ISLAM juga…)

Menyampaikan kebenaran, perlu ada seninya. Ada sahaja kebenaran, yang kita mesti sebut secara terang dan jelas. Ada juga kebenaran, yang mesti kita senyapkan dahulu(bukan senyap tak cakap, tetapi senyap dalam erti kata, menyebar secara senyap.. ibarat pergerakan anai-anai). Kiralah situasi, dan keadaan anda.

Kamu memang benar dalam menyampaikan kebenaran, dan apa yang kamu kata itu adalah benar. Tetapi alangkah baiknya kalau kebenaran itu kamu sampaikan dengan jalan dan cara yang betul, menyentuh hati dan mempunyai penerusan. Barulah penyebaran kebenaran itu mempunyai kesinambungan.

Semoga kita mendapat manfaat daripada post ini.

Sekadar perkongsian buah fikiran.

Bergeraklah..

Manusia, dalam kehidupannya kadangkala seperti ada tali yang mengikat. Selalunya ikatan itu akan terzahir dengan alasan.

“ Ah.. ana takutlah..”

“ Aku tak boleh buat la benda ni”

“ Ayo bro, wa ni bukan macam lu…”

Bila manusia hendak bergerak ke arah kemajuan diri, peningkatan hati, atau cuba melakukan sesuatu yang bermakna untuk kehidupannya sendiri, pasti akan ada rasa,

“ Emm.. boleh ke?”

Kenapa? Kenapa mesti begitu?

Kerana tiada keyakinan. Juga kerana tiada pegangan yang jelas. Manusia nampak matlamat,

“ oh, nak masuk syurga…”

Tetapi manusia tidak nampak jalan hendak ke sana.

“ Macam mana ya?”

Lantas hati termanggu-manggu dek penantian akibat kurangnya kejelasan. Akhirnya,

“ Ah, malas lah”

Ditambah pula dengan serangan-serangan syaitan yang berusaha agar anak adam ini tidak akan mampu bergerak selangkah merapati RABBnya.

“ Membazir masa je benda-benda ni….”

Tambah pula jika dia sudah mula bergerak dalam keraguan itu, kemudian dia tersungkur jatuh kerana gagal.

“ Ha.. kan aku dah kata dah…”

Akhirnya terikatlah manusia tanpa berlakunya peningkatan pada diri. Tidak berubah ke arah kebaikan. Saban hari duduk di dalam kegelapan. Hingga dia tidak lagi kenal apakah itu cahaya kebenaran. Sehingga kebaikan itu dipandang jelek, dan keburukan itu dipandang mulia dan hebat.

Sebenarnya, perubahan diri itu diseru. Perlu dibangunkan satu rasa di dalam jiwa kita, kekuatan hendak melakukan perubahan ke arah kebaikan dalam diri kita. Kita sebagai manusia perlu bergerak ke arah kebaikan, walau sesukar mana pun jalannya.

“ Tetapi aku tak tahu nak buat macam mana?”

Maka jelaskanlah pandangan kita terhadap apa jalan yang perlu kita ambil dan lalui. Tiadalah kita akan mengambil jalan-jalan mereka yang gagal, melainkan kita hanya akan mengambil jalan manusia yang sudah berjaya. Dan jalan itu hanya ada satu sahaja. Itulah jalan yang sudah ditempuhi oleh Rasulullah, para sahabatnya, dan juga mereka yang mengikuti mereka sebelum kita.

“ Acuan ALLAH, siapakah yang lebih baik dari ALLAH acuannya?” Al-Baqarah ayat 138.

Jalan yang sama juga kita akan tempuhi jika hendak melakukan perubahan diri. Seorang manusia itu perlu dinamik jika hendakkan kebaikan di dalam diri. Kebaikan, tidak akan datang bergolek kepada kita. Yang akan datang kepada kita walau kita tidak bergerak hanya keburukan sahaja.

“ Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan jika kaum itu berusaha untuk mengubah apa yang ada di dalam dirinya” Ar-Ra’d ayat 11.

Manusia perlu yakin bahawa bersama-samanya adalah ALLAH yang tidak akan sesekali berenggang dengannya. Jika dia faham akan hal ini, menyedari bahawa peningkatan dirinya adalah untuk kembali kepada ALLAH dalam keadaan yang terbaik, maka dia akan berusaha dengan gencar tanpa gentar. Segala keresahan, musibah, dan dugaan akan menjadi kecil apabila dia mempunyai keimanan ini.

“ Sekiranya kamu membantu ALLAH, maka ALLAH akan membantu kamu dan menguatkan kaki kamu”

Bagi manusia yang menggerakkan dirinya atas kefahaman ini, maka dia akan mampu melangkah lebih jauh. Siapa sangka ISLAM yang mendapat tentangan hebat semasa era Makkah, mampu tersebar ke seluruh dunia dan mempunyai penganut yang amat ramai, malah pernah memerintah 2/3 dunia? Semuanya kerana ia dimulakan dengan keyakinan hendak memenuhi tuntutan dan arahan ALLAH SWT.

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALLAH, ALLAH akan memberikannya jalan keluar, dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka, barangsiapa yang bertawakkal kepada ALLAH, maka ALLAH akan cukupkan untuknya,” Surah At-Talaq ayat 2-3

Justeru manusia tidak patut teragak-agak lagi dalam menggesa dirinya untuk bergerak melakukan perubahan. Takdir itu perlu dilakarkan olehnya sendiri dengan usaha. ALLAH akan memberikan natijah. Dan pastinya, sesiapa yang bergerak atas keimanannya kepada ALLAH, maka apa pun natijah yang terpalit pada jalan kehidupannya, dia tidak akan sesekali kecewa.

“ Setiap yang bernyawa akan mati, sesungguhnya kamu akan dibalasi dengan perbuatan kamu di akhirat kelak, barangsiapa yang diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga, makasesungguhnya dia telah berjaya, dan tiadalah dunia ini melainkan kesenangan yang menipu daya” Ali-Imran ayat 185.

Maka manusia, bergeraklah kamu ke arah kebaikan dan jangan kamu tangguh-tangguhkan.

Hanya kebaikan sahaja yang menanti kamu walau pasti di atas jalan perubahan ini, kesukaran dan cabaran menanti dirimu.

Bergeraklah!

Berubah!