Bergeraklah..

Manusia, dalam kehidupannya kadangkala seperti ada tali yang mengikat. Selalunya ikatan itu akan terzahir dengan alasan.

“ Ah.. ana takutlah..”

“ Aku tak boleh buat la benda ni”

“ Ayo bro, wa ni bukan macam lu…”

Bila manusia hendak bergerak ke arah kemajuan diri, peningkatan hati, atau cuba melakukan sesuatu yang bermakna untuk kehidupannya sendiri, pasti akan ada rasa,

“ Emm.. boleh ke?”

Kenapa? Kenapa mesti begitu?

Kerana tiada keyakinan. Juga kerana tiada pegangan yang jelas. Manusia nampak matlamat,

“ oh, nak masuk syurga…”

Tetapi manusia tidak nampak jalan hendak ke sana.

“ Macam mana ya?”

Lantas hati termanggu-manggu dek penantian akibat kurangnya kejelasan. Akhirnya,

“ Ah, malas lah”

Ditambah pula dengan serangan-serangan syaitan yang berusaha agar anak adam ini tidak akan mampu bergerak selangkah merapati RABBnya.

“ Membazir masa je benda-benda ni….”

Tambah pula jika dia sudah mula bergerak dalam keraguan itu, kemudian dia tersungkur jatuh kerana gagal.

“ Ha.. kan aku dah kata dah…”

Akhirnya terikatlah manusia tanpa berlakunya peningkatan pada diri. Tidak berubah ke arah kebaikan. Saban hari duduk di dalam kegelapan. Hingga dia tidak lagi kenal apakah itu cahaya kebenaran. Sehingga kebaikan itu dipandang jelek, dan keburukan itu dipandang mulia dan hebat.

Sebenarnya, perubahan diri itu diseru. Perlu dibangunkan satu rasa di dalam jiwa kita, kekuatan hendak melakukan perubahan ke arah kebaikan dalam diri kita. Kita sebagai manusia perlu bergerak ke arah kebaikan, walau sesukar mana pun jalannya.

“ Tetapi aku tak tahu nak buat macam mana?”

Maka jelaskanlah pandangan kita terhadap apa jalan yang perlu kita ambil dan lalui. Tiadalah kita akan mengambil jalan-jalan mereka yang gagal, melainkan kita hanya akan mengambil jalan manusia yang sudah berjaya. Dan jalan itu hanya ada satu sahaja. Itulah jalan yang sudah ditempuhi oleh Rasulullah, para sahabatnya, dan juga mereka yang mengikuti mereka sebelum kita.

“ Acuan ALLAH, siapakah yang lebih baik dari ALLAH acuannya?” Al-Baqarah ayat 138.

Jalan yang sama juga kita akan tempuhi jika hendak melakukan perubahan diri. Seorang manusia itu perlu dinamik jika hendakkan kebaikan di dalam diri. Kebaikan, tidak akan datang bergolek kepada kita. Yang akan datang kepada kita walau kita tidak bergerak hanya keburukan sahaja.

“ Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan jika kaum itu berusaha untuk mengubah apa yang ada di dalam dirinya” Ar-Ra’d ayat 11.

Manusia perlu yakin bahawa bersama-samanya adalah ALLAH yang tidak akan sesekali berenggang dengannya. Jika dia faham akan hal ini, menyedari bahawa peningkatan dirinya adalah untuk kembali kepada ALLAH dalam keadaan yang terbaik, maka dia akan berusaha dengan gencar tanpa gentar. Segala keresahan, musibah, dan dugaan akan menjadi kecil apabila dia mempunyai keimanan ini.

“ Sekiranya kamu membantu ALLAH, maka ALLAH akan membantu kamu dan menguatkan kaki kamu”

Bagi manusia yang menggerakkan dirinya atas kefahaman ini, maka dia akan mampu melangkah lebih jauh. Siapa sangka ISLAM yang mendapat tentangan hebat semasa era Makkah, mampu tersebar ke seluruh dunia dan mempunyai penganut yang amat ramai, malah pernah memerintah 2/3 dunia? Semuanya kerana ia dimulakan dengan keyakinan hendak memenuhi tuntutan dan arahan ALLAH SWT.

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALLAH, ALLAH akan memberikannya jalan keluar, dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka, barangsiapa yang bertawakkal kepada ALLAH, maka ALLAH akan cukupkan untuknya,” Surah At-Talaq ayat 2-3

Justeru manusia tidak patut teragak-agak lagi dalam menggesa dirinya untuk bergerak melakukan perubahan. Takdir itu perlu dilakarkan olehnya sendiri dengan usaha. ALLAH akan memberikan natijah. Dan pastinya, sesiapa yang bergerak atas keimanannya kepada ALLAH, maka apa pun natijah yang terpalit pada jalan kehidupannya, dia tidak akan sesekali kecewa.

“ Setiap yang bernyawa akan mati, sesungguhnya kamu akan dibalasi dengan perbuatan kamu di akhirat kelak, barangsiapa yang diselamatkan dari neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga, makasesungguhnya dia telah berjaya, dan tiadalah dunia ini melainkan kesenangan yang menipu daya” Ali-Imran ayat 185.

Maka manusia, bergeraklah kamu ke arah kebaikan dan jangan kamu tangguh-tangguhkan.

Hanya kebaikan sahaja yang menanti kamu walau pasti di atas jalan perubahan ini, kesukaran dan cabaran menanti dirimu.

Bergeraklah!

Berubah!

0 comments:

Post a Comment